Juragan terpanggil untuk berkongsi satu artikel motivasi bertajuk “Motivasi dari tali kasut” karya Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj dalam bukunya yang bertajuk “Motivasi Diri: Membina Jiwa Serasi, 2008.”
Apabila kita mula kasut baru, kita akan merasai satu kelainan. Ianya amat berbeza dengan kasut yang lama walaupun sebenarnya kasut itu telah rosak. Kita seakan-akan terpaksa memakai kasut yang baru walaupun kasut yang baru ini terasa agak sempit, apabila dibawa berjalan terasa seperti kaki kita sedang didera dan diseksa yang teramat sangat.
Namun begitu lama kelamaan kita merasa selesa pula dengan kasut berkenaan. Kita pun menjadi hairan bin ajaib kerana kasut yang dahulunya terasa sempit dihujung telah tiada kerana hujung kasut berkenaan sudah semakin kembang. Kini kasut baru berkenaan telah tiada beza lagi dengan kasut kita yang lama dahulu. Bagaimanakah ianya boleh terjadi sedemikian? Bagaimanakah kasut berkenaan boleh berkembang?
Rupa-rupanya apabila kita amati, bukan kasut itu yang berkembang atau kaki kita yang mengecil tetapi talinya yang semakin member. Dahulu sewaktu mula-mula kita memakainya, kita mengikat dengan kemas dan kejap, sesuai sebagai kasut baru, maka kita rasai beberapa keburukan, tetapi apabila selalu digunakan dan talinya semakin melonggar dan memberi, kesudahannya kita sudah dapat rasai keselesaan yang asal.
Begitulah KASUT bertoleransi dengan kita, untuk memberikan kita keselesaan dan keserasian. Ia melonggar dengan sendiri mengikut pergerakan kaki dan kekerapan ianya digunakan. Semakin kerap ianya digunakan semakin ia memahami keperluan kita dan kita pun semakin selesa dan terus selesa sehinggalah sampai masanya nanti kasut itu hendak dibuang kerana telah rosak, kita tetap berasa saying dan seperti tidak mempercayai akan dapat kasut yang cukup memahami seperti itu lagi.
Hidup ini begitulah, ibarat memakai kasut baru. Mula-mula menempuh alam baru pekerjaan, pelbagai ketidakselesaan akan dirasai, tetapi lama-lama nanti ianya menjadi suatu kebiasaan. Hidup tidak boleh terlalu berkira dan rigid. Terlalu berkeras ibarat kasut yang menyakitkan apabila dipakai. Lama-lama akan timbul rasa bosan dan meradang. Kalau ada kasut baru, ia memang akan ditinggalkan. Kalau tak ada yang baru pun, rasa untuk membeli yang baru sentiasa bersarang.
Jadi ibarat tali kasut yang sedia mengikat, melonggarkan diri untuk memberi ruang tetapi sedia diikat kembali jika itu bermakna keselesaan, keserasian dan destinasi.
P/S: Bagi juragan sikap toleransi dan ingin berubah patut dijadikan sebagai amalan wajib bagi memudahkan kita untuk menjadi insan yang gemilang dan boleh dibawa kemana sahaja asalkan ianya memberikan impak yang positif. Jadi sekadar renungan kita bersama, diharap agar anda semua telah dapat ilmu yang berguna daripada artikel berkenaan, meminjam kata-kata keramat Prof Madya Hj. Izuddin Hj. Ali
“jadi fikir-fikirkan dan selamat beramal”
Source:
Siri Motivasi Diri: Membina Jiwa Serasi, DR. HM Tuah Iskandar al-Haj
Jalan Pantas ke Arah Pelajar Cemerlang, Prof Madya Hj. Izuddin Hj. Ali & Zetty Zahureen Mohd Yusoff.
No comments:
Post a Comment