Kali ini juragan terpanggil untuk mengulas satu topik yang seringkali diketengahkan namun gagal diatasi sepenuhnya oleh pihak berkuasa dan kerajaan. Mat Rempit @ samseng jalanan adalah satu nama yang cukup sinonim bagi mereka yang terlibat dengan gejala menunggang motorsikal secara melulu dan merbahaya, tidak mengikut peraturan dan definisi yang paling tepat kepada mereka ini adalah manusia yang tidak tahu beradap sopan @ barbarian daripada hutan mana yang mendapat motosikal.
Juragan sering kali terfikir apakah yang sebenarnya dicari oleh golongan ini, adakah ianya dilakukan bagi menunjukkan mereka ini memprotes sesuatu atau sekadar mencari kepuasan dan keberanian selaku anak Jantan pada tempat dan masa yang tidak sesuai. Datang sahaja ke kampung juragan pada setiap petang Jumaat dan Sabtu selepas waktu Asar sehinggalah waktu maghrib (Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang) spesifiknya Jalan Wakaf Beruas dan Simpang Tok Ku. Hairan bin ajaib pula rasanya sebab makin kerap pihak polis membuat road block dan serbuan namun aktiviti merempit semakin berleluasa pula sekarang. Terimbas kembali laporan sebuah akhbar tempatan tidak lama dulu mengenai keperihatinan MB Terengganu yang turun padang untuk melihat sendiri masalah yang semakin menjadi barah ini. Namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian yang kukuh dilaksanakan, peruntukkan dana untuk membina litar lumba yang kononnya memungkinkan aktiviti merempit ini akan berkurang dilihat satu contoh penyelesaian yang tidak berasas sama sekali dan kurang diterima akal. Mungkinkah anak-anak muda yang 99% adalah terdiri daripada orang melayu telah mula berasa bosan @ mereka ini telah mendapat semacam kekuatan untuk menunjukkan kehebatan peninggalan sifat “keberanian” pejuang-pejuang melayu terdahulu seperti Tok Janggut, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau.
Mereka lebih gah dan berbangga apabila ada rakan-rakan mereka mati katak akibat kemalangan dengan motorsikal yang dibeli @ dicuri. Trend merempit kini telah semakin parah apabila menjadi ikutan sebilangan kecil penunggang cilik yang belum ambik UPSR mahupun minah rempit itu sendiri. Cuba kita bayangkan dalam segerombolan mat-mat rempit yang sedang berlumba tiba-tiba kita terpandang sesuatu yang amat menarik perhatian iaitu perbuatan minah rempit yang turut sama melakukan aksi whiley @ wheykang dan sebagainya, namun yang membuat kita bertambah sakit mata apabila minah rempit tadi bertudung malah diantaranya berbaju kurung yang sopan.
Dengan melakukan pelbagai aksi merempit yang merbahaya dan melulu mungkin akan menambahkan lagi keberanian dan mungkinkah satu episod baru akan muncul dengan kemungkinan mereka ini terlibat dengan aktiviti meragut, menyamun, merompak dan sebagainya. Juragan sering kali berfikir, adakah ibu-bapa budak-budak rempit ini tahu yang anak diaorang sebenarnya mat rempit yang suka menyusahkan orang lain, menggangu ketenteraman awam, berlagak seperti beruk mendapat motorsikal dan apakah perasaan diaorang sekiranya mendapat tahu yang sebenarnya anak mereka adalah mat rempit @ sampah masyarakat? Adakah diaorang ini rasa bangga? Malu? Atau tiada perasaan langsung..Rasanya cukup dahulu ulasan Juragan mengenai perkara ini, Juragan akan cuba mengenalpasti punca-punca mereka ini merempit dengan mengadakan sesi soal jawab dengan mereka ini. Mungkin nanti Juragan boleh berikan cara dan pendapat kepada pihak berkuasa untuk mengatasi masalah rempit ini, yang sedikit sebanyak telah mencalar imej bangsa melayu itu sendiri.
wishHh ..
ReplyDeletejdilAh oWg yg beRgunA .,