Monday, June 28, 2010

Preview buku Tip Belajar Sedikit Dapat Banyak

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini juragan ingin mengupas serba sedikit mengenai buku kemahiran belajar hasil idea dan penulisan seorang sahabat juragan semasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dahulu iaitu Cikgu Mohd Razali Kamarudin. Sungguh tidak juragan sangka idea tentang penulisan buku-buku motivasi dan kemahiran belajar telah menyebabkan beliau begitu komited dan taksub untuk berkongsi pelbagai teknik kemahiran belajar dengan para pelajar sekolah (rendah @ menengah), pelajar matrikulasi dan Tingkatan 6, dan pelajar universiti yang masih lagi tercari-cari cara serta kaedah dan cara belajar sedikit, ringkas, sesuai dan yang terbaik.


Tajuk yang digunakan agak praktikal dan agak menarik untuk disebut, diingati dan difahami, ditambah pula ilustrasi pada kulit depan yang agak kreatif dan tidak menyerabutkan pandangan mata. Kupasan mengenai isu dan teknik kemahiran agak bersahaja, mudah difahami dan ringkas, menyebabkan pembaca tertarik untuk mencuba dan mempraktikkan teknik belajar yang dicadangkan oleh penulis. Ditambah pula dalam setiap tajuk utama @ bab terdapat nota dan latihan cara belajar yang ringkas untuk dibuat oleh pembaca (seperti penulisan yang membawa pembaca untuk bersama-sama melakukan apa yang dibaca pada ruangan khas diakhir mukasurat pada setiap bab yang diberikan).


Penggunaan contoh-contoh individu yang telah berjaya seperti Nur Amalina, Nik Nur Madiha dan Azali Azlan yang berkongsi tentang cara dan teknik belajar yang digunakan menyebabkan ianya agak praktikal dan subjektif untuk diadaptasi, walaupun para pelajar yang membaca buku ini tidaklah terlalu pandai  atau cemerlang namun jika menggunakan kaedah serta teknik belajar yang betul sekurang-kurangnya ianya dapat meningkatkan tahap teknik penguasaan kemahiran belajar serta penguasaan idea dan kreativiti pelajar tersebut.

Penulis juga sangat menekankan tentang penguasaan serta membangkitkan mood belajar, yang dirasakan amat penting bagi menentukan tahap pembacaan serta ulangkaji para pelajar. Kalau kena dengan mood, belajar sedikitpun telah mencukupi kerana 95% perkara yang telah dibaca dan dibuat telah masuk dan kekal didalam pemahaman serta otak para pelajar.

Juragan sangat berasa berbesar hati untuk mencadang buku ini dijadikan teman belajar kepada adik-adik yang akan mengambil peperiksaan pada tahun hadapan untuk melakukan satu pecutan awal mengenai teknik kemahiran belajar yang boleh dipraktikkan agar membolehkan kita mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Nantikan juga kemunculan sulung buku keluaran kami berdua yang bertajuk "Anugerah Dekan Dalam Genggaman", yang fokus utamanya adalah untuk memperkenalkan para pelajar IPT mengenai teknik kemahiran belajar yang agak praktikal digunakan di IPT serta kupasan serta cara untuk menjawab soalan peperiksaan di IPT yang agak lebih kritis dan mendalam kupasan berdasarkan pengalaman penulis, pensyarah kanan serta profesor daripada beberapa buah IPT tempatan. NANTIkan terbitannya....!

No comments:

Post a Comment